KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang wanita yang menyusup masuk ke kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sebuah apartmen Projek Perumahan Rakyat (PPR), Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam, di sini, pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, wanita berkenaan disyaki menetap di Puchong dan dipercayai masuk ke kawasan tersebut untuk menziarahi neneknya sekitar pukul 6.15 petang.

"Laporan polis dibuat pada malam hari kejadian selepas satu video berdurasi 30 saat tular di media sosial memaparkan wanita berkenaan yang memakai baju warna gelap dan seluar putih dilihat menyusup masuk seorang diri ke PPR tersebut melalui kawat duri yang diletakkan di sekeliling blok.

"Saksi awam yang memuat naik video berkenaan di media sosial mengaku merakamkan video tersebut manakala pegawai bertugas di PPR berkenaan membuat laporan berhubung kejadian.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.



PKPD | Polis kesan wanita menyusup masuk kawasan PKPD

Mengulas lanjut, Anuar menasihatkan orang awam tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular ini kerana bimbang mewujudkan kegusaran orang awam dan hendaklah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Sebarang perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dikenakan tindakan undang-undang," ujar beliau lagi.

Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.